<< March 2021 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04 05 06
07 08 09 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed



Aug 7, 2006
Shamsiah Fakeh

 

 

 

 

Shamsiah Fakeh:

 

Dari AWAS ke Rejimen ke-10

 

Sekadar memperkenalkan buku yang juga sudah menjadi kalut masakini. Sebuah buku yang juga penting untuk dibaca bersama buku Ibrahim Chik, macam gandingan Annuar Zain dan Dayang Norfaezah gamaknya. Buku ini hasil terbitan Penerbit UKM dan merupakan satu memoir yang tulus ikhlas. Terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya. Berikut diturunkan petikan dari 'blurb' buku tersebut untuk tatapan semua.

"Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.

Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.

Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri. Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termetrainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989.

Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10. 2004. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-659-9 (Paperback). 138 hlm. RM30.00.

 

sedutan dari:

http://kakibuku.blogdrive.com/

Ulasan dari penyusun blog:

Saya pernah mendengar dari beberapa orang tua yang pernah menuntut dengan beliau di Islamic High School, Pelangai atau orang kampung berasal dari Ulu Jempol bahawa Shamsiah antara lain dikhabarkan seperti berikut:

1. Beliau ( Shamsiah) berkata beberapa ayat al Quran ( ayat bertulisan merah) - edisi lama, mempunyai kelebihan tersendiri, antara lainnya berguna untuk tujuan pertahanan diri. Ada ayat-ayat yang bila dibaca mampu memutarkan peluru yang ditembak oleh musuh.

2. Allahyarham Ust Abdul Jalil Salim ( baca riwayat Maulana Lebai Maadah) yang juga pesara polis berpangkat koperal, pernah didatangi Shamsiah ketika ia masih dalam  perkhidmatan. Mereka adalah anak murid Lebai Maadah tetapi dalam wadah perjuangan yang berbeza. Menurut Ust Abd jalil, Shamsiah mendakwa masih menaruh harapan tinggi untuk perjuangan memerdekakan negeri sepenuhnya dan bermatlamatkan agama. Beliau beranggapan kemerdekaan negara masih separuh masak.

3. Beliau juga dikatakan mempunyai ilmu pertahanan diri yang tinggi dan mampu mengaburi penglihatan pihak musuh di waktu terdesak.

4. Pernah seorang tua bernama Pak Minhat di Kampung Chomomoi, Pahang memberi tahu saya iaitu beliau pernah keluar memburu di hutan ( tidak dinyatakan lokasi hutan). Orang tua ini ditangkap oleh 2 kominis berbangsa China yang mendakwa beliau telah menceroboh kawasan mereka. Orang tua ini begitu terkejut apabila ketua gerombolan kominis diketuai seorang wanita melayu yang amat dikenalinya. Itulah Shamsiah Fakeh rakan seperguruannya yang berkain batik dan di pinggangnya ada sepucuk pistol dan tersangkut dua grenade. Mereka saling mengenali dan shamsiah yang dipanggilnya 'Kakak' membebaskannya dan menunjukkan kawasan perburuan yang banyak binatang buruan.

Beliau dibawa melawat sebuah gua penginapan mereka yang menyimpan stok makanan. Apabila ditanya, tidakkah dia bermasalah mengawasi kesemua lelaki bukan bangsanya di bawah kawalannya, Shamsiah dikatakan berkata 'perkara' itu cukup mudah baginya apabila cita-citanya tercapai. Shamsiah menyuruh Pak Minhat melaporkan kepada pihak keselamatan tentang pertemuan mereka apabila keluar dari hutan tersebut. Pak Minhat  tidak pasti apakah tujuan Shamsiah memberi arahan tersebut. Dengar khabar bila dilakukan serbuan ke lokasi tersebut, gua itu telah diletupkan ( dimusnahkan?).

5. Ketika saya mengunjungi Allahyarhamah Ustazah Hambiah dalam mencari maklumat berkaitan Lebai Maadah, ustazah Hambiah turut merakamkan kisah bersama Shamsiah sewaktu menuntut di sekolah Lebai Maadah. Beliau amat teringin untuk menemui kembali rakannya itu apabila dimaklumkan Shamsiah telah dikembali ke tanahair.

Adakah Shamsiah masih hidup kini?

Mungkin melucukan dan karut bagi sesetengah orang, hari ini ( 17 Ogos 2006 Khamis) saya menyelinap meninggalkan meja yang masih bertimbun fail-fail untuk disemak semata-mata untuk mencari hamba Allah bernama Shamsiah ini. Pagi tadi saya mencapai sedikit maklumat tentang Shamsiah Fakeh dari laman web lelasarie dicatatkan beliau tinggal dengan keuzuran di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Nah, menunggang motorsikal meredah kesibukan kotaraya yang berjerebu panas dan menyusur lebuh raya yang bersimpang siur mencari Jalan Kuchai Lama. Memang lama sungguh saya tidak melalui jalan ini, kira-kira 30 tahun lama ketika masih bujang saya sering ke sana  menonton wayang free cerita kung fu di Salak South. Jalan-jalan telah banyak berubah dan memang sukar untuk mencari seseorang di hutan batu ini. Inilah yang dikatakan lucu dan karut.

Sewaktu menziarahi Haji Abdul Aziz iaitu anak murid Lebai Maadah di Pelangai, Kuala Pilah kira-kira dua tahun lalu, beliau ada memberitau Shamsiah rakan seperguruannya itu tinggal di Jalan Kuchai Lama depan Kilang Ajinomoto. Malangnya, tiada rumah kampung atau banglow yang memudahkan carian. Semuanya bangunan kedai dan flat perumahan yang dihuni penghuni yang 'lu-lu, gua-gua' alhamdulillah, ada orang muda yang sudi membantu saya. Beliau berkata pernah dengar nama itu dan pernah nampak suami Shamsiah yang sudah tua botak bersiar-siar di kawasan sekitar. Mereka tinggal di kondo yang berdekatan.

Tepat pukul 2.00 petang, saya dibenarkan memasuki perumahan De Tropicana. Rata-rata penghuni dan pengawal kondo itu tidak mengenali secara dekat orang tua yang sering di bawa bersiar-siar dengan kerusi roda itu. Bila saya bertanyakan nama 'Shamsiah bekas ketua PKM' mereka terpinga-pinga dan terkejut. Namun begitu, gadis manis di pejabat pengurusan kondo tersebut biasa dengan 'pencari-pencari' manusia aneh ini dan melalui beliaulah saya melilau membilang mata tangga.

Tuk, tuk.. hampir 3 kali tanpa sambutan. Salam tidak bersambut. Di celah lubang pintu saya ternampak bayangan dan bila pintu dibuka, saya memberi salam tetapi lelaki berkulit sawo matang berambut gondrong menggosok-gosok mata, mungkin baru bangun tidur. Salam tak berjawab. Saya perkenalkan diri dan bertanyakan "shamsiah".

Beliau mempelawa saya masuk. "Tak payah buka kasut" katanya. Telo katanya seperti China. Dalam hati saya berkata, ini anak dia agaknya. Di sudut living room, saya melihat seorang tua berkulit putih merengkok di atas katil. Tidak ubah seperti memasuki rumah nyonya dengan peralatan rumahnya. Poster lukisan wanita tua bertudung di atas meja mungkin wajah orang tua itu.

Mereka bertutur dalam dialek China dan lelaki sawo matang itu membetulkan kepala ibunya yang hampir terkulai. Saya menghulurkan tangan dan beliau menyambutnya. Inilah Shamsiah Fakeh yang saya cari!! sejuk tangannya dan wajahnya masih bersih. Suaranya garau dan kerap pula berludah dalam bekas yang disediakan. Sah beliau begitu uzur. Air ludahannya meleleh di leher. Saya memberitaunya, saya berasal dari Kuala Pilah. Wajahnya agak ceria dan tersenyum kerana mungkin senang mendengar nama kampung halamannya yang ditinggalkan lebih 60 tahun itu. Shamsiah menyatakan beliau dilahirkan di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari Pekan Kuala Pilah. Ibu tua ini sukar untuk bercakap tetapi masih mampu menuturkan kata-kata dengan perlahan. Saya kira usianya bukan 84 tahun dan mungkin lebih dari itu berdasarkan umur beberapa anak murid Tuan Lebai Maadah yang masih hidup.

Melihat pada tubuh yang lemah itu, saya diburu pertanyaan bagaimana wanita itu boleh mengharungi belantara hitam dan terlibat dalam PKM. Senyumannya mendalam tetapi apakan daya usia dan kudrat tidak mengizinkan ibu tua ini melayani saya. Dahulu semasa kecil, saya menaruh kekaguman mendengar kepejuangannya dari orang-orang tua kampung yang sempat bersamanya. Benarkah dulu dia seperti yang digambarkan oleh Pak Minhat Kg Chomomoi, Pahang seperti berikut:

'Berkain batik dan di pinggangnya ada sepucuk pistol dan tersangkut dua grenade'(?)

Saya merasakan terlalu rugi kerana harapan untuk menimba lautan perjuangannya terbeku di tepi katil yang kusam. Anaknya pula kurang faseh berbahasa Melayu. Saya menyebut beberapa nama rakan sekolahnya seperti Abdul Jalil, Haji Abd Aziz dan Hambiah tetapi beliau menggeleng-geleng kepala kerana tak mampu memutarkan kenangan di bangku sekolah Tuan Lebai Maadah. Peliknya, bila disebut 'Maadah' beliau mengangguk-anggukkan kepala dan senyum. Nama ini begitu sinonim dan mungkin terlalu mahal baginya kerana melalui lidah tuan guru inilah beliau mengenal agama dan perjuangan, dengan mengambil kata Lebai dalam bukunya:

"mereka itu anak-anak muda yang berhemah tinggi juga dalam mencari ilmu pengetahuan serta ikhlas dan jernih hati-hati mereka pada menjaga kefardhuan dan masing-masing itu berharap belaka kepada kemajuan kaum dan bangsa dan juga tanahair" - muka surat 33 Buku Penubuhan Madrasah Aliah Islamiah.

Kemudian saya meminta diri untuk berbual-bual dengan seorang lelaki China yang diperkenalkan dirinya sebagai anak angkat Shamsiah. Beliau China tempatan bernama Ah Kiong dan melaluinya saya dapat bertanyakan sedikit kisah keluarga ini. Pemuda sawo matang itu bernama Kamarudin, beliau adalah anak kedua Shamsiah dengan Ibrahim Muhamad ( meninggal dunia bulan Febuari 2006). Kamaruddin dikatakan terlalu 'kecinaan' dan sukar menerima budaya melayu walaupun kulitnya seperti saya. Dia bertugas sebagai guru sambilan seni Tai Chi dan mengajar seni khat China untuk penghuni perumahan mewah itu. Saya rasa poster wajah ibunya dilukis oleh Kamarudin sendiri. Ah Kiong memberitau saya Kamaruddin tidak tertarik dengan gadis Melayu dan isterinya telah membawa diri ke negeri asal bersama anak perempuan mereka kerana tidak biasa di sini. Katanya, "Banyak kali saya cakap suruh dia balik kampung campur orang Melayu, awak Melayu.. tapi Kamarudin tak biasa kawan Melayu".

Kami berjanji untuk bertemu lagi. Saya perlu mendapatkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10. Jumpa lagi.

Penglibatan Shamsiah dengan PKI :

http://www.kompas.com/kompas-cetak/0510/17/humaniora/2127935.htm


Posted at 02:42 pm by Afdhal
Make a comment